fb fb fb fb fb

Ketua Pegawai Operasi ProLintas mengaku bersalah terima suapan, didenda RM100,000

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Ketua Pegawai Operasi ProLintas didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana menerima suapan berjumlah RM90,000 bagi projek Lebuhrya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), dua tahun lalu.

Hakim Rosli Ahmad, menjatuhkan hukuman maksimum terhadap Rostam Shahrif Tami, 59, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan hukuman penjara 10 bulan jika gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan wang (disita) daripada tertuduh dilucut hak kepada kerajaan termasuk bon (berjumlah RM114,000), wang tunai RM658,750 dan RM180,000 daripada akaun Tabung Haji serta mata wang asing.

Mengikut pertuduhan, Rostam didakwa gagal melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa Rosman Alias, bagi pihak Satunas Technologies Sdn Bhd, telah memberinya wang tunai RM90,000 sebagai sogokan untuk mendapatkan kontrak.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (2) akta sama yang membawa hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, hasil penerimaan wang rasuah, Rostam Shahrif menggunakan dan melupuskan wang tersebut bagi tujuan kegunaan peribadi termasuk pembelian tujuh jam tangan mewah serta dua buah kenderaan yang didaftarkan atas nama dua anak tertuduh.

Harta alih berkenaan telah disita oleh SPRM dan dia juga telah membayar bon berjumlah RM114,000 untuk harta yang disita itu.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM