fb fb fb fb fb

Lawatan Presiden Kyrgyz, upacara tradisional masyarakat nomad menjadi tumpuan

PM dan Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Zhaparov menghadiri upacara tradisional Yurt Kyrgyz - Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 25 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Zhaparov menghadiri upacara tradisional Yurt Kyrgyz sempena lawatan rasmi Presiden negara itu ke Malaysia.

Upacara tersebut menyajikan simbol ketahanan kehidupan nomad dan warisan budaya yang menampilkan “Boz Ui”, iaitu “yurt” atau khemah tradisional Kyrgyz yang menjadi tumpuan tetamu Malaysia dengan struktur bulat uniknya, lapisan kain felt dan kerangka kayu, bukti ketahanan dan kepintaran masyarakat nomad Kyrgyz dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Datuk Seri Anwar dan Presiden Zhaparov tiba di lokasi pameran di Kompleks Perbadanan Putrajaya diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Dr. Zaliha Mustafa; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud.

"Boz Ui" atau Rumah Kelabu, telah digunakan oleh masyarakat nomad Kyrgyz sejak berabad-abad lamanya sebagai kediaman utama oleh penggembala Kyrgyz bagi merentasi padang rumput yang luas, lembah dan kawasan pergunungan di Asia Tengah dan wilayah sekitarnya.

Direka sebagai kediaman yang bukan sahaja praktikal untuk kehidupan berpindah-randah mengikut musim, tetapi juga sarat dengan nilai budaya dan menjadi lambang kebijaksanaan dan daya tahan hidup masyarakat nomad.

Dalam rangka lawatan ini juga, Presiden Zhaparov dan delegasi diraikan dalam majlis jamuan makan tengah hari rasmi yang dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana.

Kedua-dua pemimpin disambut mesra oleh murid-murid Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1), sebelum disajikan dengan persembahan tarian oleh kumpulan penari dari Istana Budaya.

Acara ini disusun sempena lawatan rasmi pertama Presiden Zhaparov ke Malaysia selama dua hari, sebagai kunjungan balas kepada lawatan rasmi Perdana Menteri ke Republik Kyrgyz pada Mei 2024.

Terdahulu di sebelah pagi, kedua-dua pemimpin itu telah menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pelancongan, transformasi digital dan keselamatan siber, pendidikan tinggi, kesihatan, promosi perdagangan, kerjasama ekonomi serta kerjasama saintifik dan penyelidikan serta pembangunan belia.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM