fb fb fb fb fb

Malaysia-Kyrgyz teroka potensi kerjasama sistem perbankan Islam, sektor halal

Pertemuan Presiden Kyrgyz, Sadyr Zhaparov dan PM di Kompleks Seri Perdana - Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 25 Jun - Malaysia dan Republik Kyrgyz capai persetujuan untuk bekerjasama membangunkan sistem perbankan Islam dan memperkukuh perdagangan produk halal.

Menerusinya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kuala Lumpur akan menawarkan kepakaran dalam kedua-dua sektor tersebut bagi membantu pembangunan kemudahan dan perkhidmatan di republik berkenaan.

"Kita bincangkan mengenai perbankan Islam, halal, pembinaan, pengurusan kewangan dan program termasuk membangunkan perbankan Islam serta kemudahan asas diperlukan. Ia bagi memastikan kesemua pelaburan dapat diperluaskan.

Selepas ini, akan ada mesyuarat susulan daripada barisan Menteri terlibat. Anda (Kyrgyz) bawa bersama Menteri-menteri penting ke Malaysia. Dan Menteri-menteri saya akan memberi maklum balas kepada bukan sahaja bertujuan pemahaman kerjasama itu lebih baik, juga keberhasilan projek dan kerjasama kedua-dua pihak," katanya dalam sesi sidang media dengan Presiden Kyrgyz, Sadyr Zhaparov di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Dalam pertemuan terdahulu, kedua-dua pemimpin telah membincangkan penubuhan bank Islam bagi mewujudkan sistem kewangan yang lebih baik.

Selain itu, mengenai pelan tindakan kerjasama halal yang dicadangkan Zhaparov, Datuk Seri Anwar berkata, perkara itu akan diperhalusi dan diteroka dengan lebih meluas.

"Semua ini akan diterokai. Kyrgyz mempunyai kapasiti besar dari tenaga hidro, tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui. Sudah pasti, Malaysia sangat berminat untuk memahami, mengkaji dan mendapat manfaat.

Kami turut bincangkan kerjasama dari segi pertukaran kajian dalam kalangan pensyarah, pakar dan pelajar," ujar beliau.

Perdana Menteri turut memaklumkan Malaysia-Kyrgyz bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan dan penyelidikan sambil menekankan kepentingan turut tertumpu dalam mempererat hubungan antara rakyat, serta memperluas potensi sosial dan ekonomi kedua-dua negara.

Sejajar dengan hasrat itu juga, Malaysia akan menyalurkan bantuan pendidikan dan penyelidikan kepada rakyat Kyrgyz menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM