fb fb fb fb fb

Lawatan sulung Presiden Kyrgyz, pertingkat hubungan kerjasama

Presiden Kyrgyz, Sadyr Zhaparov dan PM - Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 25 Jun - Lawatan sulung Presiden Kyrgyz, Sadyr Zhaparov ke Malaysia, memperkukuh usaha kerjasama dua hala secara menyeluruh seterusnya memajukan lagi hubungan ke peringkat yang lebih tinggi.

Lawatan balasnya ini mencerminkan hubungan kedua-dua negara yang semakin utuh susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Bishkek pada Mei 2024.

"Ini merupakan lawatan rasmi pertama selepas 30 tahun, mencerminkan kedua-dua negara komited untuk memperkukuh hubungan bilateral dalam diplomasi, perdagangan dan pelaburan menerusi pelbagai kerjasama termasuk pendidikan dan kajian budaya," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bercakap pada sidang media bersama di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Terdahulu, pertemuan hari ini menyaksikan pemeteraian 10 Memorandum Persefahaman (MOU), Surat Hasrat dan Pertukaran Nota antara kedua-dua negara bagi memperkukuh hubungan bilateral dalam bidang politik, perdagangan, pelaburan, budaya dan hubungan antara rakyat.

Pemeteraian ini membuka peluang unik kepada pelabur Malaysia, khususnya dalam bidang tenaga, teknologi hijau, pelancongan, pertanian, ekonomi digital dan perbankan.

Pada 2024, Kyrgyz merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah dengan nilai perdagangan dua hala bernilai RM40 juta (USD8.74juta).

Eksport utama Malaysia ke Republik Kyrgyz termasuk produk elektrik dan elektronik, minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, jentera, kelengkapan dan alat ganti.

Import utama Malaysia dari Republik Kyrgyz pula terdiri daripada bahan kimia dan produk kimia, produk elektrik dan elektronik serta makanan diproses.

Malaysia dan Republik Kyrgyz menjalin hubungan diplomatik pada 21 Mei 1992 selepas negara itu mencapai kemerdekaan susulan pembubaran Kesatuan Soviet pada 1991.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM