PUTRAJAYA, 25 Jun– Malaysia melancarkan platform Startup ASEAN di peringkat serantau secara rasmi hari ini ke arah memperkukuh komitmen negara memacu pertumbuhan rantau ASEAN di bawah Kepengerusian ASEAN 2025.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, syarikat pemula (startup) bukan sekadar gerbang digital, tetapi turut menjadi pemangkin strategik yang dibentuk menerusi kerjasama dengan semua Negara Anggota ASEAN bagi menangani isu capaian pasaran, pembiayaan, bakat dan data.
Menerusi platform digital berkenaan, Startup ASEAN bukan sahaja membuka peluang kerjasama baharu di rantau ini, malah memperluas akses untuk startup Malaysia mengembangkan sayap, meningkatkan skala serta berjaya di dalam dan luar ASEAN.
Sekali gus, mewakili kesediaan Malaysia memimpin usaha membina ekosistem startup serantau yang mampan dan berdaya saing.
"Platform ini dibangunkan melalui kerjasama rapat dengan semua 10 negara anggota ASEAN untuk membina platform yang direka bukan hanya untuk hari ini tetapi juga untuk masa hadapan.
"Ini adalah penyampaian utama pertama di bawah inisiatif Startup ASEAN, dan tentunya Malaysia berbangga mempersembahkan teknologi ASEAN bermula dengan 2025," katanya, ketika berucap melancarkan platform tersebut di Putrajaya.
Platform Startup ASEAN dilengkapi komponen penting untuk menyokong ekosistem inovasi ASEAN, selain dibangunkan sebagai hab sehenti yang menyeluruh serta menawarkan akses langsung kepada peluang pasaran serantau, pembiayaan, rangkaian pelabur, pembangunan bakat dan pandangan ekosistem.
"Platform Startup ASEAN adalah langkah pertama dalam usaha serantau yang lebih teliti. Dalam fasa satu yang siap pada 2024, kami menumpukan pada pembangunan platform dan penglibatan pemegang kepentingan.
"Fasa 2 yang kita raikan hari ini...,menandakan platform beroperasi penuh di samping program permulaan Serantau dan inisiatif pembinaan kapasiti. Menuju ke fasa 3, pada 2026 kami merancang untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan ASEAN untuk startup peringkat awal, yang akan bertindak sebagai platform serantau bagi mempertingkatkan lagi Startup ASEAN dalam sistem," katanya lagi.