MOSCOW, 25 Jun - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memulakan lawatan kerja ke Moscow dengan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatan Alexei Overchuk.
Datuk Seri Fadillah diiringi Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai.
Mesyuarat dua hala tersebut, yang berlangsung di White House Moscow, antara lain membincangkan kerjasama dua hala sedia ada serta meneroka peluang kerjasama baharu.
Ini termasuk kerjasama dalam bidang tenaga, dengan tumpuan kepada pemindahan teknologi, pendidikan dan latihan.
Hubungan diplomatik Malaysia dan Rusia telah terjalin sejak 1967.
Tahun lalu, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan nilai dagangan mencecah RM11.46 bilion.
Eksport utama Malaysia ke Rusia termasuk produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti serta makanan diproses.