KUALA LUMPUR, 5 November - Sejumlah 9,678 komuniti telah menerima manfaat Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) menerusi 10,337 projek dilaksanakan di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata antara pencapaian ketara program itu ialah peningkatan pendapatan komuniti sehingga RM15,000 sebulan, selain mewujudkan peluang pekerjaan tempatan baharu serta menggalakkan aktiviti keusahawanan dan agro makanan.
Datuk Seri Dr Zaliha berkata peruntukan program di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu disalurkan terus ke akaun komuniti yang memohon.
Jelasnya, segala keperluan, pengeluaran dan perbelanjaan di bawah kawalan komuniti sendiri.
“Bagi memastikan ketelusan, ICU menubuhkan jawatankuasa pemantau yang dianggotai pelbagai jabatan dan agensi bagi menyemak dokumen serta rekod kewangan secara berkala,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Dr Zaliha menegaskan bahawa projek Kota MADANI di Putrajaya bukan satu pembaziran seperti didakwa sesetengah pihak.
Beliau berkata projek yang dibiayai pihak swasta melalui kaedah bina, pajak, selenggara dan pindah (BLMT) itu dibangunkan sebagai perbandaran beridentiti.
Unit kediaman yang dibina bakal menempatkan lebih 30,000 penjawat awam serta dilengkapi infrastruktur pintar, kemudahan asas dan persekitaran mampan.
“Pembangunan Kota MADANI ini juga dilaksanakan melalui kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dengan kos pembinaan ditanggung oleh pihak swasta, jadi kerajaan tidak mengeluarkan peruntukan RM4 bilion daripada awal,” kata beliau.