fb fb fb fb fb

Presiden Kyrgyz berlepas pulang, selesai lawatan dua hari

Presiden Kyrgyz, Sadyr Zhaparov berlepas pulang selepas menamatkan lawatan sulung ke Malaysia/ BERNAMA

SEPANG, 25 Jun- Presiden Kyrgyz, Sadyr Zhaparov berlepas pulang petang ini selepas menamatkan lawatan sulung selama dua hari ke Malaysia.

Pesawat khas yang membawa Zhaparov dan delegasi berlepas ke Kyrgyzstan pada pukul 6.15 petang dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam lawatan rasmi sepanjang hari ini, Presiden Zhaparov diraikan dalam pelbagai acara penting di Putrajaya.

Beliau kemudiannya meneruskan lawatan dengan kunjungan hormat ke Parlimen Malaysia dan Menara Berkembar Petronas (KLCC) sebelum bergerak ke Kompleks Bunga Raya, KLIA untuk pelepasan pulang.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkesempatan menyampaikan album khas kepada Zhaparov yang mengandungi gambar-gambar sepanjang lawatan beliau ke Malaysia.

Sebelum berlepas, Zhaparov memeriksa kawalan kehormatan terdiri 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Kapten Mohd Masrur Hidayat Masri. 

Turut mengiringi ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

ROSLINA BINTI DIN