fb fb fb fb fb

IPIM pupuk patriotisme, jati diri generasi muda

Foto FB Kementerian Perpaduan Negara

KUALA TERENGGANU, 25 Jun- Kementerian Perpaduan Negara mengharapkan generasi muda, khususnya pelajar sekolah, dapat memupuk semangat kenegaraan, jati diri dan patriotisme melalui program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM) yang dilaksanakan di seluruh negara.

Semua sekolah digalakkan menyertai IPIM bagi memberi peluang kepada pelajar merasai pengalaman, sekali gus menambah minat terhadap mata pelajaran Sejarah.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami berkata, program itu memberi fokus dengan penglibatan aktif pelajar dan guru dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) sejarah melalui pendekatan yang lebih interaktif menggunakan koleksi dan artifak muzium. 

Program IPIM turut menyasarkan penyertaan 10,000 pelajar sepanjang tahun ini.

"Program IPIM telah mula dilaksanakan sejak tahun 2014. Sehingga hari ini, ada 41 muzium terbabit dengan program itu secara fizikal dan maya," katanya.

Katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kick Off Program IPIM Peringkat Kebangsaan 2025 di Muzium Negeri Terengganu di sini.

Sementara itu, seramai 80 pelajar sekolah rendah dan menengah di Terengganu telah menyertai IPIM yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik.

"Hari ini kami dapat banyak ilmu sebab di sini kami buat aktiviti. Di sekolah kami hanya belajar teori, tapi di sini kami buat amali. Jadi, kami rasa sangat gembira sebab ini pengalaman baharu dan tak akan dilupakan," kata pelajar, Baleshwaran Vickneswaran.

"Saya berasa amat seronok kerana dapat belajar tentang sejarah Terengganu. Hari ini, saya belajar mengenai Batu Bersurat," kata pelajar, Kisha Amani Mohamad Takiyudin.

Sebanyak 41 muzium dengan penyertaan 1,680 pelajar dan 164 guru telah menyertai program yang sama secara serentak di seluruh negara, hari ini.

Pelancaran sistem baharu iaitu portal ipim.jmm.gov.my akan memudahkan guru membuat permohonan untuk menyertai program itu di seluruh negara.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM