fb fb fb fb fb

STPM: Bagan Datuk catat lulus 100 peratus, PNGK naik ke 3.22

Foto Facebook Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

BAGAN DATUK, 25 Jun- Bagan Datuk mencatat pencapaian membanggakan bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 dengan merekodkan lulus 100 peratus dan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) meningkat kepada 3.22 berbanding 3.09 pada tahun 2023.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi kenyataan berkata pencapaian itu menyaksikan peningkatan bilangan calon yang cemerlang seramai 7 orang daripada keseluruhan calon yang memperoleh PNGK 4.00 bagi tahun 2024 berbanding dua orang pada tahun 2023.

Selain itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak mencatatkan PNGK tertinggi daerah iaitu 3.54, manakala SMK Khir Johari mencatatkan peningkatan PNGK ke tahap 3.11.

Menurut beliau, kejayaan tersebut menjadi simbol komitmen bersepadu daripada semua pihak, antaranya guru, ibu bapa serta Pejabat Pendidikan Daerah.

Tambahnya, keutamaan kepada pembangunan pendidikan dan potensi anak muda di kawasan Bagan Datuk akan terus diberi keutamaan dan segala bentuk sokongan akan disalurkan termasuk program bantuan pendidikan, bimbingan motivasi serta penyediaan akses kepada peluang pengajian tinggi dan latihan teknikal.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua calon STPM di seluruh negara, susulan peningkatan PNGK nasional kepada 2.85, berbanding 2.84 pada tahun sebelumnya.

Selain itu, peningkatan turut dicatat dari segi jumlah calon PNGK 4.00, bilangan keputusan 5A dan 4A serta kadar lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran.

ROSLINA BINTI DIN