fb fb fb fb fb

INWED 2025, platform aspirasi wanita cipta legasi kejuruteraan

Pemangku Ketua Komunikasi Korporat Plus Berhad Mashitah Mohd Arshad / Foto RTM

PETALING JAYA, 25 Jun - Pelajar wanita yang masih mencari arah tuju dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), perlu didedahkan kepada industri berkaitan, agar golongan itu dapat melihat potensi sebenar.

Menurut pensyarah Fakulti Kejuruteraan UiTM Shah Alam, Profesor Madya Dr Azianti Ismail, golongan wanita digalakkan menyertai platform yang memberikan inspirasi dan pencerahan terhadap potensi mereka dalam sektor kejuruteraan.

“Program hari ini sangat memberi kesan, khususnya kepada pelajar wanita yang masih mencari arah tuju dalam bidang STEM. Ia adalah titik permulaan untuk melihat potensi sebenar dalam bidang teknologi dan kejuruteraan,” katanya pada forum bersempena sambutan tahunan Hari Kejuruteraan Wanita Antarabangsa (INWED) 2025 di sini hari ini.

Forum bertemakan "Grit, Grace & Growth", merupakan inisiatif mengangkat martabat serta peranan wanita dalam dunia kejuruteraan itu julung kali dianjurkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan PLUS Malaysia Berhad.

Forum itu menampilkan sesi perkongsian bersama barisan panel wanita berpengaruh dalam sektor kejuruteraan negara.

Antara tokoh yang menyampaikan pandangan mereka termasuk Ketua Eksekutif CIDB, Zainora Zainal, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, serta tokoh industri lain.

Sementara itu Pemangku Ketua Komunikasi Korporat Plus Berhad Mashitah Mohd Arshad berkata, lebih 300 peserta hadir dalam program itu.

"Melibatkan agensi seperti CIDB, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Kerja Raya (JKR), syarikat-syarikat di bawah UEM Group serta institusi pengajian tinggi, penganjuran INWED 2025 disifatkan sebagai langkah penting ke arah memperkukuh penglibatan wanita dalam kejuruteraan," katanya.

Forum separuh hari itu turut membuka ruang kepada jurutera muda dan pelajar kejuruteraan untuk membina rangkaian profesional, bertukar pandangan serta menyelami cabaran sebenar wanita dalam industri, selain memberi pendedahan kepada peluang dan bimbingan praktikal.

Inisiatif tersebut diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan tenaga kerja wanita yang lebih inklusif, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan industri pembinaan dan kejuruteraan negara secara lebih lestari dan progresif.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ