KUALA LUMPUR, 4 November - Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Malaysia 2026-2030 dilancarkan hari ini bagi memastikan ekosistem ekonomi penjagaan yang inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat di semua peringkat umur.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia menandakan komitmen Malaysia untuk memperkasa ekosistem penjagaan yang mampan dan inklusif, selaras dengan agenda pembangunan sosial negara.
Ia seiring persediaan Malaysia menjadi Negara Tua menjelang tahun 2030.
“Inilah program yang amat diperlukan bukan sahaja oleh Malaysia tetapi juga di peringkat global. Rakan-rakan antarabangsa menyokong kita kerana mereka melihat kemampuan Malaysia untuk menerajui inisiatif ini.
"Yang penting, kita mahu melahirkan lebih ramai penjaga (caregivers) yang berkemahiran, dan kita akan melindungi mereka supaya profesion ini diiktiraf dan dihargai," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian The New Frontiers in the Care Economy Conference (CARECON) 2025 di sini, hari ini.
Kerangka strategik tersebut memberi tumpuan kepada lima teras utama, merangkumi aspek perundangan dan tatakelola, laluan kerjaya, advokasi kesedaran, kerjasama strategik, serta penyelidikan, teknologi dan data.
“Tanpa panduan ini, sukar untuk kita membangunkan ekosistem penjagaan yang teratur dan mampan. Kita mahu struktur yang jelas supaya penjaga mempunyai jaminan kerjaya dan perlindungan yang sewajarnya.” tambah beliau.
Persidangan CARECON 2025 bertemakan “Exploring Models of Sustainable, Inclusive, Responsive and Equitable Care for ASEAN and The Region”, menjadi platform penting memperkukuh ekonomi penjagaan di peringkat nasional dan serantau.
“Kita mahu strong governance dengan undang-undang yang kukuh serta peraturan yang jelas. Sebab itu kita gunakan pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation, melibatkan kementerian lain, NGO dan masyarakat. Input semua pihak amat penting untuk memastikan sektor penjagaan ini benar-benar inklusif.” katanya.
Kementerian itu telah mula melaksanakan insentif latihan penjaga sejak tahun lalu dan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13, pelan ini memperuntukkan tempoh lima tahun bagi melatih seramai 50 ribu penjaga.
"Insya-allahlah kita kerjasama dengan rakan-rakan kita daripada negara-negara lain yang membantu dalam usaha ini," jelas beliau.
Pelaksanaan pelan ini dijangka membentuk ekosistem penjagaan negara yang holistik, mampan dan inklusif, sekali gus menjadikan Malaysia hab penjagaan terunggul di rantau ini.