SEREMBAN, 25 Jun- Projek pembinaan jalan baharu menghubungkan Kampung Baru SiRusa ke Lukut dijangka siap sepenuhnya awal tahun 2027.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembinaan jalan penghubung baharu itu akan dapat mengurangkan kesesakan, mempercepat laluan dan memendekkan masa perjalanan dari arah Lukut ke Kampung Baru SiRusa atau Bagan Pinang.
Jalan penghubung baharu tersebut dianggarkan sepanjang 10 hingga 13 kilometer.
"Alhamdulillah projek itu nampaknya berjalan dengan baik. Kita lihat kerja pembinaannya mengikut jadual yang telah disiapkan dan kami yang terima taklimat tersebut yakin bahawa projek itu tidak tertangguh.
"Ini merupakan satu berita baik, sekarang kerja giat dijalankan... walaupun ada perubahan alignment jalan tersebut kerana berhampiran Petron, tetapi telah dapat diselesaikan segera", katanya ketika ditemui pada Sidang Media Pasca Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan di Seremban.
Katanya, fasa pertama penyerahan dijangka akan dibuat dalam waktu terdekat.