fb fb fb fb fb

Perjanjian ART Malaysia-AS kukuhkan kedudukan ekonomi peringkat global

Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian ketika menjadi tetamu secara dalam talian menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media/RTM

KUALA LUMPUR, 4 November - Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia - Amerika Syarikat (AS) merupakan langkah diplomasi strategik untuk memperkukuh kedudukan dan ekonomi negara di peringkat global.

Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata perjanjian itu dimeterai berlandaskan dasar berkecuali, tanpa menjejaskan kedaulatan dan autonomi negara.

Beliau menjelaskan perubahan geopolitik ketika ini menuntut Malaysia untuk meningkatkan kerjasama simbolik bersama kuasa-kuasa besar dunia namun pada masa sama, tidak memihak secara terus kepada mana-mana blok ekonomi.


"Perjanjian Malaysia ini lebih berfokus kepada perdagangan, pelaburan dan ekonomi bukan hubungan diplomatik dan politik. Itu harus dijelaskan. Bila bercakap tentang soal kedaulatan, sudah pasti ia soal kebebasan hak sesebuah negara.

"Dalam konteks ini, tidak ada kenyataan yang menyatakan bahawa kita harus mengikut bulat-bulat apa yang dinyatakan oleh negara lain khususnya dalam konteks ini Amerika. Jadi kita kekal berdaulat dalam urusan kenegaraan.

"Tidak ada negara lain yang boleh menyentuh kedaulatan negara, malah dalam peraturan perkara 75 ART jelas menyatakan sekiranya tidak bersetuju, kita boleh menamatkannya dengan serta-merta untuk pertahankan maruah, reputasi dan kedaulatan negara," kata beliau ketika menjadi tetamu secara dalam talian menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Profesor Datuk Dr Sivamurugan berpandangan perjanjian itu telah meletakkan kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik AS, sepertimana negara lain seperti Jepun dan Korea yang mempunyai perjanjian seumpama itu.

Beliau optimis perjanjian tersebut menjadi platform terbaik membuka ruang pelaburan dan perdagangan serta memacu ekonomi serantau.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ