fb fb fb fb fb

Inisiatif Teduhan Insani MADANI bantu asnaf miliki rumah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 November - Golongan asnaf berpeluang memiliki kediaman sendiri menerusi inisiatif baharu, Teduhan Insani MADANI yang diperkenalkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, seramai 24 asnaf layak menerima manfaat itu yang melibatkan jumlah bantuan keseluruhan melebihi RM632,000.

Inisiatif tersebut turut membantu mereka menyelesaikan baki pinjaman perumahan.

"Inisiatif pemilikan rumah ini merupakan kaedah terkini yang diperkenalkan oleh pihak MAIWP. Kalau sebelum ini, MAIWP memberikan bantuan untuk membaik pulih, serta membaiki rumah yang rosak, tetapi menerusi inisiatif ini, MAIWP serahkan, berikan pemilikan rumah kepada rakan-rakan dan sahabat-sahabat dalam kalangan asnaf," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Teduhan Insani MADANI di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di Lembah Pantai di sini.

Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara MAIWP dengan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) melalui Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP).

Menurut Datuk Dr Mohd Na'im, pendekatan baharu ini lebih menyeluruh dalam membantu golongan asnaf keluar daripada kepompong kemiskinan kerana ia bukan sekadar usaha memiliki sebuah rumah, tetapi membina masa depan yang lebih cerah untuk keluarga asnaf.

MASNIZA AWANG KECHIK