fb fb fb fb fb

EBM bantu tingkat mobiliti kerja dan kukuh pasaran buruh - PERKESO

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 5 November - Pelaksanaan Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) akan meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara maju yang mengamalkan dasar menyokong penghijrahan tenaga kerja, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi kenyataan memaklumkan, pengenalan EBM menjadikan Malaysia antara negara terawal di Asia Tenggara yang memperkenalkan dasar khusus bagi menyokong peralihan tenaga kerja.

Katanya, dasar tersebut diamalkan di negara maju seperti Finland, Jerman, United Kingdom, Australia dan Kanada, yang menyediakan bantuan mobiliti atau galakan penempatan semula pencari kerja.

“Langkah ini berupaya membantu rakyat yang memerlukan dan pada masa sama memberi galakan untuk mereka terus bekerja meskipun lokasi baharu jauh dari rumah.

“Menerusi pengenalan EBM, Malaysia kini sebaris negara maju yang memberi keutamaan kepada dasar mobiliti tenaga kerja sebagai strategi meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing ekonomi negara.

“Hakikatnya, ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi merupakan langkah strategik ke arah membina pasaran kerja yang lebih responsif, inklusif dan berdaya tahan,” menurut kenyataan itu.

Pengenalan EBM merupakan antara penambahbaikan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025, yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, di Dewan Rakyat, semalam (Selasa).

Selain EBM, pindaan RUU turut mencadangkan peningkatan kadar Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan (EMP).

“Pindaan Akta ini akan memperkukuh tatakelola dan pengoperasian LINDUNG Kerjaya, termasuk mempercepat proses tuntutan, memperkemas prosedur pentadbiran serta meningkatkan penggunaan data pasaran kerja.

“PERKESO komited untuk memastikan pelaksanaan pindaan akta ini dapat memperkukuh pasaran kerja negara dan memastikan setiap rakyat mempunyai peluang pekerjaan yang produktif serta dilindungi oleh sistem keselamatan sosial yang mampan,” tambah kenyataan berkenaan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD