fb fb fb fb fb

Hasil penyelidikan Islam asas pembentukan dasar dan hukum

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 5 November - Para penyelidik hal ehwal Islam perlu lebih agresif mengkaji dan menghasilkan sesuatu yang baharu untuk dijadikan panduan kepada umat Islam.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata hasil penyelidikan Islam adalah maklumat primer sesuatu isu, permasalahan dan penyelesaian yang menjadi asas penting dalam pembangunan dasar, garis panduan serta pandangan hukum berasaskan Maqasid Syariah. 

"Bukan agresif membuta tuli, tetapi berdasarkan panduan prosedur yang ada untuk melaksanakan penyelidikan agar Islam ini juga tidak nampak rigid dan jumud, ia telah dibawa ke Jawatankuasa Muzakarah dan dibentang dalam Mesyuarat MKI dan telah dibentang dalam Mesyuarat Raja-Raja untuk mendapat perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

"... selanjutnya Jabatan Mufti negeri-negeri akan bersidang di peringkat Jawatankuasa Fatwa negeri untuk tujuan pewartaan bagi beberapa perkara yang perlukan kepada pewartaan untuk tujuan pelaksanaan, ada negeri sudah gazet fatwa untuk agama Ahmad, contohnya", katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Konvensyen Penyelidikan Islam Peringkat Kebangsaan 2025 di Putrajaya.

Konvensyen itu mengetengahkan hasil-hasil kajian yang dijalankan oleh JAKIM bersama institusi pengajian tinggi dan agensi berkaitan dalam pelbagai bidang termasuk akidah, ibadah, muamalat, kekeluargaan, sains dan perubatan, halal dan ekonomi Islam.

Antara hasil penyelidikan yang dibentangkan ialah Kajian The Ahmadi Religion of Peace and Light oleh Dr Yusri Mohamad Ramli dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pembekuan Sel Sperma dan Ovum daripada Individu yang Belum Berkahwin Atas Sebab Perubatan Menurut Perspektif Islam oleh Encik Sulaiman Fitri Ramli dari Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Bertemakan ‘Penyelidikan Pemacu Transformasi Ummah MADANI’ ia menjadi wadah strategik dalam usaha membentuk masyarakat yang sejahtera, progresif dan berdaya tahan.

ROSLINA BINTI DIN