GEORGETOWN, 2 Februari-Pulau Pinang dijangka menerima kehadiran lebih 1.5 juta penganut agama Hindu sempena sambutan perayaan Thaipusam pada 11 Februari depan.
Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP), RSN Rayer berkata segala persiapan rapi telah dijalankan semua pihak terlibat terutama pihak kuil dan jawatankuasa perayaan.
LWHPP bersama Digital Penang memperkenalkan aplikasi pengesan pada Pedati Emas bagi memudahkan orang awam mengetahui pergerakan dan kedudukan pedati berkenaan.
"Tahun lalu saya difahamkan kita mencecah lebih kurang 1 juta tahun ini mungkin lebih bukan sahaja daripada Malaysia tetapi juga saya difahamkan ada yang dari Australia New Zealand Singapura dan tempat tempat lain memandangkan ia merupakan cuti sekolah", katanya demikian ketika ditemui RTM di sini.
Aplikasi Pathrikai dan Chariot Tracker telah diperkenal pada tahun lepas telah ditambah baik dan dipertingkat dengan ciri-ciri tambahan bagi memudahkan perancangan penganut Hindu untuk bersembahyang di mana-mana kuil berhampiran.
Pedati emas berkenaan akan bergerak dari Kuil Maha Mariaman di Lebuh Queen pada jam 10 pagi sehari sebelum Thaipusam.
Seterusnya akan tiba di Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani pada keesokannya dan bergerak semula ke kuil Maha Mariaman pada 12 Februari sebelum tiba pada 13 Februari.