fb fb fb fb fb

Pertukaran petugas kaunter kerajaan dilakukan secara berperingkat

Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar

BANGI, 2 Februari- Proses pertukaran penjawat awam yang bertugas di kaunter telah bermula pada Januari lalu secara berperingkat.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menjelaskan, pertukaran tersebut bagi memastikan perkhidmatan kerajaan tidak terganggu.

"Baru-baru ini Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan sudah mengeluarkan kenyataan, ramai yang telah ditukarkan.

"Namun pertukaran ini akan melihat kepada kesesuaian sebab kita tidak mahu sebarang gangguan selepas ditukar. Jadi dia akan buat secara berperingkat, berfasa tetapi yang pastinya kita akan buat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis KSN Unplugged bersama Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara Malaysia (Ansara) di sini.

Sebelum ini, Wan Ahmad Dahlan menyatakan perpindahan petugas kaunter yang telah berkhidmat lebih daripada lima tahun dilakukan secara berperingkat.

Perkara itu bagi memastikan pelaksanaan perubahan tersebut tidak mengganggu kelancaran urusan perkhidmatan kerajaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI