SERIAN, 2 Februari- Beberapa kawasan terputus hubungan akibat banjir di sini dan Sebuyau menerima bekalan dan bantuan pagi tadi.
Menurut laporan dari Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (JBPN) Sarawak operasi pertama melibatkan penghantaran 85 pek makanan ke Kampung Merakai.
Operasi itu melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian bersama beberapa agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menggunakan tiga buah bot.
Manakala lokasi kedua melibatkan penghantaran barang keperluan ke Kampung Bajong, Sebuyau.
Ia melibatkan aset lori bersama 18 anggota dan petugas bomba, PDRM, APM, JKM dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Dalam pada itu pihak bomba turut menghantar barang keperluan lain seperti tilam, bantal, selimut ke pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Bajong.