SHAH ALAM, 2 Februari- Keselamatan pengunjung kekal menjadi keutamaan dalam industri pelancongan Selangor khususnya memastikan langkah-langkah keselamatan serta keselesaan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor Datuk Ng Suee Lim dalam satu kenyataan memaklumkan perkara itu susulan kejadian di Taman Tema SkyCity.
Beliau menegaskan kesemua pengendali tapak pelancongan di negeri itu bertanggungjawab untuk memastikan standard keselamatan tertinggi untuk para pengunjung.
"Bagi isu yang terjadi di SkyCity baru- baru ini, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengambil langkah yang sewajarnya dengan mengeluarkan beberapa kompaun dan notis amaran kepada operator yang terlibat, sebelum kawasan tersebut dibuka kepada umum.
"Kerajaan Negeri Selangor menyokong penuh dan menyerahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan dan memastikan operator produk pelancongan di Selangor mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
"Pihak SkyCity juga disarankan untuk mengambil langkah penambahbaikan serta memperketat protokol keselamatan sebelum dibenarkan beroperasi semula," katanya.
Dalam pada itu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan pihak kerajaan negeri akan memanggil semula pihak pengurusan taman tema tersebut.
Operasi taman tema berkenaan dihentikan serta merta sehingga operator terbabit dapat memenuhi spesifikasi ditetapkan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Tourism Selangor dan kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengukuhkan usaha pemantauan dan memastikan semua tapak pelancongan mematuhi peraturan keselamatan ditetapkan.
Bagaimanapun maklumat produk pelancongan tepat dan berlesen boleh diperoleh melalui laman web rasmi Tourism Selangor di visitselangor2025.my atau melalui platform media sosial di @TourismSelangor.
Perkara itu merupakan usaha kolektif daripada pihak berkuasa, pengusaha taman tema dan para pengunjung dalam memastikan sektor pelancongan Selangor terus berkembang maju.