fb fb fb fb fb

Perluasan AKPS, perkukuh kawalan pintu masuk utama negara

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/ BERNAMA

SEPANG, 2 Februari- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bakal diperluas ke beberapa pintu sempadan laluan udara lain dalam memperkukuh kawalan pintu masuk utama negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perluasan tersebut akan dilaksanakan secara berfasa setelah kementeriannya menilai keberkesanan operasi agensi itu di 19 pintu masuk yang telah beroperasi sebelum ini.

"Daripada 141 kita mulakan dengan 19 pintu masuk, data yang kita kumpul nanti akan digunakan untuk panduan ke fasa berikutnya.

"Jadi kita atur keutamaan dalam menetukan operasi AKPS di pintu masuk negara termasuk di Sabah dan Sarawak mengikut keutamaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas peluncuran AKPS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Dalam pada itu seramai 12,000 kakitangan dijangka terlibat dengan pengoperasian AKPS apabila sistem itu beroperasi sepenuhnya di 141 pintu masuk negara.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) telah melalui fasa pertama pelaksanaan sistem itu dalam menambah baik operasi kawalan di pintu masuk negara.

Dalam pada itu Saifuddin turut menjelaskan mengenai tenaga kerja agensi terbabit tiada perjawatan baru diwujudkan sebaliknya ia hanya melibatkan kakitangan sedia ada dalam agensi berkaitan.

"Apabila wujud agensi yang baru sudah tentu dia datang dengan bajet, perjawatan atau logistik seperti pejabat dan sebagainya. Tetapi uniknya perjawatan AKPS ini adalah diserap.

"Contoh kastam, ia menyumbang sehingga 1,090 anggota yang berada bawah AKPS. Ini bermaksud tugas taksiran dan tugas menerima bayaran dilakukan kastam. Apakah ia perjawatan baru? Jawapannya tidak, ia hanya dialih begitu juga dengan polis," katanya.

 

BERITA BERKAITAN: 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI