fb fb fb fb fb

TH tawar khidmat dam, korban di aplikasi THiJARI

KUALA LUMPUR, 5 Mei - Lembaga Tabung Haji (TH) menawarkan perkhidmatan bayaran dam dan korban melalui aplikasi THiJARI untuk bakal jemaah haji tahun ini.

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi, Mohamed Ameen Abdul Wahab memaklumkan bakal haji boleh membuat pembayaran dam sebelum ke tanah suci, seiring dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji yang menggalakkan pelaksanaan bayaran pada kadar yang ditentukan sebelum sampai di tanah suci.

"Pembayaran dam yang diterima ialah untuk Dam Haji Tamattu’ dan Dam Haji Qiran di mana daging dam ini akan diagihkan kepada penduduk yang layak di Tanah Suci Makkah.

"Manakala daging korban akan diagihkan oleh Bank Pembangunan Islam (IDB) kepada penduduk Islam yang layak terutama di benua Afrika," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pembayaran dam adalah pada kadar RM590 bagi seekor kibas, manakala pembayaran korban ialah pada kadar RM955.80 untuk seekor kibas dan RM5,900 untuk seekor lembu.

"Pembayaran dam dan korban ini boleh dilaksanakan melalui THiJARI bermula Isnin ini, 9 Mei atau di mana-mana pejabat TH seluruh negara.

"Pelaksanaan korban ini adalah kerjasama TH dengan IDB yang berpangkalan di Jeddah. Ia juga buat julung kalinya bukan sahaja dibuka kepada bakal-bakal haji tetapi kepada semua pendeposit TH.

Menurut Mohamed Ameen perkhidmatan korban ini juga merupakan satu lagi perkhidmatan baru yang ditawarkan TH kepada pendeposit melalui THiJARI.

"Untuk menggunakan perkhidmatan pembayaran dam dan korban, bakal-bakal haji dan pendeposit TH perlu mendaftar sebagai pengguna THiJARI melalui pautan www.thijari.com.my yang amat mudah dan selamat. Setakat ini, jumlah pengguna THiJARI telah pun mencecah hampir 1.5 juta.

"THiJARI kini menawarkan pelbagai perkhidmatan dalam talian antaranya pindahan melalui FPX, permohonan pembukaan akaun TH, rayuan haji, kemaskini maklumat peribadi dan yang terbaru adalah Semakan Terimaan Tawaran Haji serta banyak lagi," katanya.

Beliau berkata sempena Hari Raya Aidilfitri, THiJARI turut menyediakan pindahan eDuit Raya bagi memudahkan pendeposit memberi duit raya kepada sanak saudara yang jauh.

Bagi sebarang pertanyaan, sila hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian +603 - 6207 1919 atau faks di +603 - 7728 4959 dan emel, Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Media Baharu