PUTRAJAYA, 9 Mei- Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak sepakat untuk menyelesaikan semua isu berbangkit antara PETRONAS dan PETROS secara rundingan, hasil pertemuan mesra antara kedua-dua pihak di Perdana Putra, hari ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut disertai Premier Sarawak, Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, bersama kepimpinan tertinggi PETRONAS dan PETROS.
Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan memaklumkan, dalam pertemuan itu kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memuktamadkan prinsip-prinsip asas dalam masa terdekat, sebagaimana yang telah dipersetujui sebelum ini, bagi mempercepat dan mempermudah proses rundingan antara kedua-dua syarikat tenaga tersebut.
"Kerjasama strategik PETRONAS dan PETROS juga bakal membuka laluan kepada penerokaan penuh potensi tenaga negara, termasuk usaha menyegerakan pembekalan tenaga secara komersial ke negara-negara ASEAN.
"Pertemuan berlangsung dalam suasana harmoni berlandaskan semangat Persekutuan, sekali gus mencerminkan komitmen bersama ke arah penyelesaian menyeluruh dan berkepentingan nasional," menurut kenyataan tersebut.