KUALA LUMPUR, 9 Mei- Rundingan lanjut mengenai tarif yang dikenakan Amerika Syarikat terhadap Malaysia merupakan platform penting untuk mewujudkan situasi menang-menang antara kedua negara.
Pensyarah Kanan Pembangunan Ekonomi Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor. Dr. Tan Peck Leong optimis rundingan itu berupaya membuka ruang memperkukuh kerjasama ekonomi.
Menurut beliau, rundingan itu membolehkan perdagangan terus berkembang secara produktif dan mampan.
Jelasnya, Malaysia perlu mengambil langkah proaktif dan berhadapan dengan rundingan ini secara terbuka; pada masa sama, tegas mempertahankan kepentingan nasional.
"Saya optimis bahawa rundingan ini akan mempunyai potensi yang berjaya lebih-lebih lagi apabila kedua-dua negara menyedari bahawa pertikaian perdagangan hanya akan merugikan kedua-dua pihak.
"Malaysia mesti mendekati rundingan ini dengan sikap terbuka, bersedia menerima kompromi strategik dan pada masa yang sama tegas dalam mempertahankan kepentingan nasional.
"Harapan saya ialah adalah agak Malaysia dapat memperoleh ruang untuk terus mengekalkan eksport ke Amerika Syarikat dan secara beransur-ansur meningkatkan nilai serta kualiti barangan yang dihantar," katanya ketika dihubungi Berita RTM pada Jumaat.
Profesor. Dr. Tan Peck Leong turut berpandangan Malaysia perlu mengambil pendekatan diplomasi ekonomi untuk menyampaikan mesej jelas bahawa negara bersedia menjadi rakan dagang yang progresif dan pemain ekonomi global yang bertanggungjawab.