fb fb fb fb fb

Format Liga IPT diubah, platform pilih pasukan wakili negara

Liga IPT sesuai agenda pembangunan sukan

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memulakan kempen Liga Bola Sepak Institut Pengajian Tinggi (LBSIPT) 2025 dengan perlawanan pembuka tirai, Piala Sumbangsih.

Menurut Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan Bahagian Perancangan Strategik KPT, Dr. Hanafiah Ayub, format baharu yang diperkenalkan tahun ini bukan sahaja mengutamakan penglibatan IPT, malah menjadi platform awal pemilihan pasukan untuk mewakili negara ke peringkat ASEAN sesuai agenda pembangunan sukan peringkat kebangsaan dan serantau.

"Kementerian Pendidikan Tinggi telah mengubah format pertandingan dengan memberi fokus kepada penglibatan pelbagai institusi pengajian tinggi. Pendekatan ini menjadi medium untuk pemilihan pasukan yang mendapat sokongan masyarakat ASEAN, selaras dengan perancangan Malaysia sebagai tuan rumah kejohanan akan datang. Langkah awal ini turut memberi ruang kepada proses pengambilan pelajar baharu dan menjadi platform berterusan bagi pembangunan bola sepak di peringkat IPT." katanya.

Tambah beliau, inisiatif ini turut menyokong perancangan kementerian dalam memperluas kejohanan dan menyelaras pembangunan sukan dengan lebih sistematik.

"Selain Bola Sepak Malaysia, Kementerian turut menganjurkan Liga IPT dan Piala Menteri sebagai sebahagian daripada program pembangunan sukan IPT. Dalam masa yang sama, terdapat perancangan untuk menganjurkan kejohanan Bola Sepak Universiti ASEAN sebagai persediaan awal ke arah penganjuran di peringkat serantau, namun ia masih berada dalam peringkat perancangan." ujarnya selepas menyaksikan perlawanan antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sementara itu, dalam aksi yang berlangsung di Stadium Arena, Universiti Malaya, UKM berjaya menewaskan UiTM menerusi sepakan penalti dengan mata 4-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 selepas tamat masa perlawanan.

Ketua Jurulatih UKM, Mohd Rafiq Roslan turut melahirkan rasa syukur atas kejayaan sulung pasukannya.

"Saya akui persiapan pasukan bukan sesuatu yang mudah memandangkan kebanyakan pemain adalah pelajar yang turut terikat dengan komitmen akademik. Namun, berbekalkan pengalaman selama empat hingga lima tahun, cabaran tersebut dapat ditangani. Saya sentiasa mengingatkan para pemain supaya memberi sepenuh komitmen ketika perlawanan walau apa pun yang berlaku semasa latihan atau saingan liga." katanya.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN