SEBERANG JAYA, 9 Mei- Seramai 201 Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari seluruh negara secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR bagi sesi 2025 hingga 2028.
Menurut Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, pencalonan itu mencerminkan amalan demokrasi yang subur dalam parti serta sokongan padu akar umbi terhadap kepimpinan Nurul Izzah.
"Pencalonan ini menunjukkan demokrasi dalam PKR. Buat pertama kali, kita dapat lihat sokongan secara terbuka sebelum pertandingan bermula. Daripada 220 cabang seluruh negara, 201 Ketua Cabang secara terbuka menyokong pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden."
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi perjumpaan bersama beberapa pimpinan PKR negeri Pulau Pinang dan Kedah, di Seberang Jaya, petang tadi.
Terdahulu, Nurul Izzah Anwar mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti yang dijadual berlangsung pada 25 Mei ini.