PADANG BESAR, 9 Mei- Seorang lelaki ditemukan lemas ketika memancing di Empangan Timah Tasoh, Padang Besar, Perlis, tengah hari tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.35 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Besar digerakkan ke lokasi.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba dimaklumkan bahawa mangsa, seorang lelaki berusia 24 tahun, dipercayai terjatuh ke dalam tasik ketika sedang memancing.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kangar, termasuk penggunaan bot nelayan bagi menjalankan teknik Surface Rescue di kawasan mangsa dipercayai jatuh.
"Mangsa berjaya ditemukan di dasar tasik pada jam 2.39 petang oleh pasukan penyelam dan seterusnya dinaikkan ke darat.
"Pemeriksaan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," menurut kenyataan tersebut.
Jenazah kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya sejurus selepas itu.