fb fb fb fb fb

Sultan Kedah seru umat Islam hayati semangat ibadah haji demi perpaduan ummah

Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji Negeri Kedah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Hotel Raia, Alor Setar

ALOR SETAR, 9 Mei- Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru umat Islam agar mengambil iktibar daripada pelaksanaan ibadah haji dalam memperkukuh perpaduan ummah dan keharmonian masyarakat.

Baginda bertitah, rakyat di negeri Kedah khususnya, dan Malaysia amnya, wajar mensyukuri nikmat hidup dalam suasana aman dan damai yang membolehkan ibadah dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa sebarang halangan.

Titah baginda, meskipun negara dihuni masyarakat berbilang bangsa dan agama, keharmonian dapat dikekalkan apabila semua pihak saling menghormati dan bebas mengamalkan budaya serta ajaran masing-masing.

Sultan Kedah turut mengingatkan bakal jemaah haji agar menjaga adab serta menjauhi sebarang anasir negatif yang boleh menjejaskan imej negara dan hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi.

"Mengambil iktibar daripada pelaksanaan ibadat haji, beta berharap agar umat Islam di Malaysia terus bersatu hati tanpa melihat kepada sebarang perbezaan yang boleh memecah-belahkan kesatuan ummah dan keharmonian masyarakat yang terdiri daripada berbilang bangsa di negara kita," titah Baginda,

Baginda turut mendoakan agar semua bakal jemaah haji dapat menunaikan ibadah dengan sempurna dan kembali ke tanah air sebagai haji yang mabrur.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji Negeri Kedah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Hotel Raia, Alor Setar, semalam.

Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah.

Seramai 143 orang bakal haji dari negeri Kedah berlepas ke Madinah menerusi penerbangan haji ke-33 daripada keseluruhan 100 penerbangan yang dijadualkan di seluruh negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE