fb fb fb fb fb

TH perjelas isu ruang sempit, sesak di Mina

MEKAH, 30 Jun- Dapatkan maklumat sahih daripada Lembaga Tabung Haji (T-H) terlebih dahulu sebelum menyebar berita tidak sahih.

Demikian ditegaskan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.

Jelas beliau, masalah ruang sempit dan sesak di Mina dihadapi jemaah haji semua negara sejak sekian lama.

Perkara itu bukan isu yang baru timbul.

Jemaah telah pun dimaklumkan mengenainya semasa kursus haji di tanah air dan ketika taklimat Masyair.

TH juga mengambil inisiatif meningkatkan jumlah jemaah haji yang melaksanakan nafar awal tahun ini, sehingga 50 peratus.

Ia bertujuan mengurangkan kesesakan di khemah penginapan di Mina.

Manakala baki jemaah lain akan melaksanakan nafar Thani iaitu kekal di Mina hingga 13 Zulhijjah.

"Pihak Pengurusan Maktab Tabung Haji (TH) juga telah memberi sebahagian ruang yang diperuntukkan untuk ruang pejabat dan penginapan petugas TH termasuk ruang petugas Muassasah kepada jemaah haji bagi meningkatkan saiz ruang yang sedia ada.

"Namun begitu ada sebahagian jemaah haji yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana ini dan pihak TH telah membenarkan jemaah berulang alik dari Mekah ke Mina jika ada permintaan," kata Syed Hamadah pada sidang media di sini.

(Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai
Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman)

Nafar awal akan membolehkan jemaah haji Malaysia melaksanakan lontaran ketiga-tiga jamrah iaitu jamrah sughra, wusta dan qubra pada 12 Zulhijjah sebelum terus meninggalkan Mina.

Sebelum ini, hanya 10 peratus daripada keseluruhan jemaah melaksanakan nafar awal.

Media Baharu