fb fb fb fb fb

40,000 anggota polis dikerah tangani rusuhan di Perancis

(Anggota bomba bertindak memadamkan
kebakaran yang dicetuskan akibat protes/Foto AFP)

PARIS, 30 Jun- Kira-kira 40,000 anggota polis di Perancis dikerah pada Khamis, bagi menangani sebarang rusuhan di seluruh negara itu.

Ia susulan kejadian seorang remaja berusia 17 tahun ditembak mati polis ketika diminta memberhentikan kereta.

Menurut sumber polis, pihak berkuasa Perancis telah bersedia untuk protes malam yang lebih ganas.

Sumber itu merujuk 'malam yang akan datang' dijangka 'menjadi teater keganasan bandar' dengan tindakan yang disasarkan kepada kuasa perintah dan simbol negara.

(Pegawai Briged Penyelidikan dan Intervensi Polis Negara Perancis (BRI) dikerah ke pinggir
bandar Nanterre, ketika pihak berkuasa bersiap sedia untuk protes yang lebih ganas pada malam
akan datang berhubung kejadian tembakan maut seorang remaja oleh seorang anggota polis/Foto AFP)

Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin berkata kerajaan perlu bertindak tegas bagi menamatkan rusuhan.

Pergolakan itu mula tercetus di pinggir bandar Nanterre, di sini.

Sementara itu, Clamart, pinggir bandar di Paris telah pun mengisytiharkan perintah berkurung semalaman, antara 9.00 malam dan 6.00 pagi dari Khamis hingga Isnin depan.

Wilayah Paris turut mengumumkan perkhidmatan bas dan trem di dalam dan sekitar ibu negara akan dihentikan setiap malam bermula 9:00 malam mulai Khamis 'untuk memastikan perlindungan kakitangan dan penumpang'.-AFP

Media Baharu