(FOTO REUTERS)
KUALA LUMPUR, 30 Jun- Malaysia menyeru kerajaan Sweden untuk menghentikan memberi kelulusan kepada tindakan provokatif membakar al-Quran di Stockholm, Sweden yang jelas merupakan jenayah kebencian dan pelaku harus bertanggungjawab.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, menerusi satu kenyataan memaklumkan, Kerajaan Perpaduan amat bimbang dan marah dengan keputusan berulang untuk membenarkan tindakan keji itu atas nama kebebasan bersuara dan bahawa negara berdiri dalam solidariti dengan komuniti yang terjejas.
“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keji tersebut di luar sebuah masjid di Stockholm pada sambutan Aidiladha iaitu pada hari kegembiraan, perayaan dan perpaduan yang penting bagi umat Islam di seluruh dunia. Ini adalah manifestasi jelas kebencian, sikap tidak bertoleransi agama dan Islamofobia.
“Kebebasan bersuara adalah hak asasi tetapi adalah penting untuk mendukung hak ini dalam lingkungan batasan dengan penuh menghormati dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyatan tersebut.
Beliau menyeru semua pihak untuk mengecam tindakan tersebut dan menggalakkan persefahaman, rasa hormat, serta keharmonian di kalangan semua ahli masyarakat.
(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar)