SEPANG, 8 Mei- Lembaga Tabung Haji (TH) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah melakukan simulasi latihan pengungsian bangunan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Latihan itu memastikan bakal jemaah haji bersedia dengan sebarang kemungkinan situasi kecemasan dan insiden luar jangka.
Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports (MA) Sepang, Mohd Arif Jaafar berkata latihan simulasi pada kali ini melibatkan lebih kurang 150 orang peserta bagi menguji pelan tindakan kecemasan semasa operasi haji berjalan.
"Dengan berakhirnya simulasi ini, kita dapat lihat semua kakitangan yang terlibat memberi komitmen amat tinggi untuk memastikan perjalanan jemaah haji pada tahun ini lebih teratur dan bersedia menangani sebarang kecemasan di KLIA," kata Mohd Arif kepada pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air, Mohd Zawawi Bostam berkata rutin simulasi sentiasa dilaksanakan pada setiap tahun menjelang musim haji bagi memeriksa prosedur operasi standard (SOP), sekiranya berlaku kecemasan dengan kerjasama pelbagai agensi luar.
"Setakat ini, semua kerjasama yang diberikan. Alhamdulillah, sangat-sangat berpuas hati dan berterima kasih kepada 172 anggota yang terlibat dari Kuala Lumpur dan juga Sepang," kata Mohd Zawawi kepada pemberita.
Malam ini, seramai 284 bakal jemaah haji kumpulan pertama akan ke Arab Saudi dan simulasi itu adalah penting bagi memastikan bakal haji serta para petugas tabung haji dan Malaysia Airports bersiap sedia menghadapi sebarang kecemasan.