MEKAH, 3 Jun – Lembaga Tabung Haji (TH) terus komited memastikan kebajikan dan keperluan jemaah haji, termasuk dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU), diberi perhatian sewajarnya agar mereka dapat menunaikan ibadah dengan sempurna.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata antara inisiatif terbaharu adalah penerbitan Buku Panduan Ibadat Haji versi Braille khusus untuk golongan OKU penglihatan.
“Semoga dengan terbitnya buku panduan ini, ia memberi manfaat besar kepada rakan-rakan OKU penglihatan serta menyuntik semangat kepada mereka yang belum menunaikan haji agar bersedia apabila tiba giliran. Sekiranya mereka mempunyai kemampuan dan pengiring, kita tidak menolak untuk memanggil mereka sebagai Duyufurrahman pada masa akan datang, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Panduan Ibadat Haji dan Al-Quran versi Braille di Maktab Penginapan Land Premium, Mekah hari ini.
Buku panduan berkenaan diterbitkan hasil kerjasama antara Tabung Haji, Pusat Ibnu Ummi Maktum Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis).
Penerbitan itu bertujuan meningkatkan kefahaman serta penguasaan komuniti OKU penglihatan terhadap praktikal ibadah haji agar mereka dapat menjalani rukun Islam kelima itu dengan penuh yakin dan lancar.