SEPANG, 3 Jun – Presiden Republik Guinea-Bissau, Tuan Yang Terutama Jeneral Umaro Sissoco Embaló, tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi sulung beliau ke negara ini sejak memegang jawatan pada tahun 2020.
Pesawat khas yang membawa beliau bersama delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar pukul 2.55 petang.
Ketibaan beliau disambut dengan penuh penghormatan oleh pegawai kanan kerajaan serta wakil Kementerian Luar Negeri.
Lawatan rasmi selama tiga hari sehingga 5 Jun ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Guinea-Bissau, merangkumi bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan dan kerjasama pembangunan.
Presiden Embaló dijadual menghadiri istiadat sambutan rasmi dan mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Putrajaya esok.
Beliau turut dijadual menghadiri beberapa acara lain termasuk lawatan ke Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, pelayaran di Cruise Tasik Putrajaya, lawatan ke Taman Botani Perdana dan Menara Berkembar Petronas.
Lawatan tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak tahun 1974.