SHAH ALAM, 3 Jun – Laporan siasatan teknikal berhubung insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dijangka siap sepenuhnya pada 26 Jun ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata siasatan tersebut sedang dijalankan secara menyeluruh dan akan diselaraskan bersama siasatan jenayah bagi memastikan laporan akhir yang lengkap sebelum didedahkan kepada umum.
“Siasatan jenayah tidak boleh didedahkan sekarang kerana ia perlu digabungkan dengan siasatan teknikal. Ini bagi mengelakkan sebarang ruang ketidaktepatan, terutamanya dalam mengenal pasti faktor keutuhan paip, pergerakan tanah dan kemungkinan wujud tekanan daripada aktiviti luaran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan E-Bike kepada Polis Selangor yang diadakan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, di sini hari ini.
Tambah Amirudin, aspek teknikal insiden diketuai oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (DOSH).