fb fb fb fb fb

TH laksana inisiatif kawal kenaikan kos haji

KUALA LUMPUR, 13 Januari- Kos menunaikan haji tahun ini dijangka meningkat kepada RM31,000 berbanding RM28,632 pada tahun lalu.

Menurut kenyataan Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman, TH telah memajak bangunan penginapan jemaah haji di Makkah dan Madinah untuk beberapa musim dalam usaha mengekalkan harga sewaan.

Selain itu, TH juga memeterai perjanjian jangka panjang dengan syarikat-syarikat penerbangan bagi mengurangkan kenaikan kos.

"Kos haji adalah semua kos langsung untuk menunaikan haji merangkumi tiket penerbangan, pengangkutan di Tanah Suci, sewaan bilik penginapan di Makkah dan Madinah, sajian makanan dan bayaran untuk pelbagai perkhidmatan asas kepada pihak-pihak berwajib di Arab Saudi.

"Kesemua elemen ini telah meningkat dari setahun ke setahun termasuk harga sewaan hotel," kata Syed Saleh.

Tambah beliau, faktor utama kenaikan lain ialah kadar inflasi, pergerakan pertukaran matawang asing, impak ekonomi global, isu logistik pascapandemik dan pengenalan percukaian baharu di Arab Saudi.

TH akan meneruskan bantuan Kewangan Haji untuk golongan berpendapatan rendah melalui bayaran haji secara bersasar yang diperkenalkan pada musim haji yang lalu.

 

Media Baharu