fb fb fb fb fb

TH jadi sumber rujukan negara lain dalam urusan haji

MEKKAH, 20 Jun - Kelebihan serta reputasi yang dimiliki oleh Lembaga Tabung Haji (TH) dalam proses mengendalikan operasi haji di tanah suci sentiasa menjadi sumber rujukan negara lain.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saled Syed Abdul Rahman berkata, ini termasuk menjadi rujukan negara Thailand yang mempunyai bilangan minoriti penganut Islam untuk jemaah menunaikan Rukun Islam kelima di Mekah.

Syed Saled menambah menerusi pertemuan tahunan antara TH bersama rombongan haji Thailand itu menjadi medan pertukaran pandangan serta perkongsian ilmu bagi menambah baik pengurusan haji.

"Melalui pertemuan tahunan ini, turut dibincangkan adalah melibatkan pengurusan dana TH yang kukuh seterusnya melaksanakan urusan haji dengan baik setiap kali musim haji tiba.

"Tabung haji mempunyai dana kukuh supaya kita boleh membuat urusan penempahan bilik hotel, penempahan penerbangan, " katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.



Ibu Pejabat TH di Mekah sebelum itu menerima kunjungan dan lawatan rombongan haji dari Beksah Thailand yang diketuai Zakee Abdulaziz Pitakkumpun.

Menurut Zakee, sistem pengurusan haji yang efektif oleh TH memberi manfaat kepada Thailand, dalam usaha mereka menambah baik perkhidmatan kepada jemaah haji negara berkenaan.

Ia termasuk konsep menabung oleh bakal jemaah haji yang bermula daripada usia muda.

"Saya akui Malaysia merupakan contoh terbaik berbanding beberapa negara Islam yang lain dari segi pengurusan haji untuk mendidik rakyat bermula daripada usia muda khususnya menabung demi kepentingan agama termasuk menunaikan haji," katanya dalam pertemuan itu.

Pada Mei lalu, TH dan syarikat Mashariq Holdings yang berpangkalan di Mekah, memeterai kontrak selama tiga tahun sebagai usaha menangani kenaikan kos ibadah haji setiap tahun serta meningkatkan perkhidmatan kepada jemaah Malaysia, terutama pada waktu puncak haji atau masyair.

Media Baharu