fb fb fb fb fb

TH ditadbir urus, dikendalikan pasukan pengurusan Bumiputera Muslim

Kaunter Lembaga Tabung Haji (TH) Menara TH/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Ogos - Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan bahawa institusi pengurusan haji komprehensif itu ditadbir urus dan dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan pengurusan Bumiputera Muslim.

TH ketika ini sedang melaksanakan inisiatif penjenamaan untuk memperkasakan semula peranannya sebagai institusi simpanan kewangan Islam yang dihormati bagi memudahkan umat Islam mengembangkan simpanan dan menunaikan ibadat haji.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mustakim Mohamad dalam satu kenyataan memaklumkan, kos mengerjakan haji kian meningkat, namun kadar simpanan pendeposit tidak berkembang dengan kebanyakannya tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk mengerjakan ibadat haji.

Justeru, inisiatif penjenamaan ini bertujuan memperkasakan TH sebagai institusi simpanan Islam pilihan di mana umat Islam kekal menabung secara sistematik dan konsisten

''Bagi mencapai matlamat penjenamaan tersebut, TH memerlukan kepakaran teknikal yang bersesuaian dan amalan itu adalah sama seperti contoh-contoh daripada sejarah Islam.

“Pengurusan TH dan urusan ibadat haji tetap dikendalikan oleh pasukan pengurusan yang sepenuhnya bumiputera Muslim, tetapi pelbagai sokongan teknikal diperlukan bagi inisiatif penjenamaan yang kompleks dan dibekalkan oleh konsortium yang dibentuk oleh TH," menurut kenyataan itu.

Jelasnya, TH perlu menjadi sebuah institusi simpanan yang berpaksikan pelanggan dan ini memerlukan evolusi strategi operasi dan jenama yang relevan, efektif dan bersesuaian dengan perubahan demografi yang dinamik.

TH turut menasihati orang ramai agar tidak mempercayai sebarang maklumat yang tidak dipastikan kesahihan sumbernya dan mengikuti saluran media sosial rasmi TH untuk mendapatkan info tepat dan sahih.

Institusi itu juga memaklumkan pihaknya telah membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan penyebaran beberapa video berunsur fitnah dan hasutan di laman sosial.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI