KOTA BHARU, 24 Ogos - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberikan reaksi positif kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) susulan hasrat untuk memperkenalkan beras jenama sendiri keluaran Kelantan.
Pengerusi KADA Khalid Abdul Samad berkata, perbincangan dengan pihak KPKM masih diteruskan.
“Pihak kementerian sedang menilai dari segi untung dan rugi. Namun, bagi kami yang paling penting adalah menunjukkan bahawa hasil pertanian negeri, khususnya bawah KADA, mampu memberikan pulangan yang membanggakan untuk rakyat Kelantan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Peluncuran Bulan Kebangsaan Peringkat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mempertimbangkan usaha untuk memperkenalkan jenama sendiri bagi beras keluaran Kelantan.
Khalid Abdul Samad berkata, langkah itu memerlukan perbincangan dengan pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memandangkan KADA ketika ini tidak mempunyai kilang pemprosesan sendiri di negeri itu.