fb fb fb fb fb

MCMC bangun sistem amaran bencana, tingkat kesiapsiagaan

Teo Nie Ching/ BERNAMA

KULAI, 24 Ogos - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membangunkan sistem amaran bencana bagi membolehkan notifikasi terus dihantar ke telefon bimbit penduduk di kawasan terjejas.

Timbalan Menteri Komunikas Teo Nie Ching berkata, cadangan itu juga akan dimasukkan dalam Belanjawan 2026 sebagai langkah meningkatkan kesiapsiagaan negara menghadapi bencana.

Sistem berkenaan dijangka lebih pantas berbanding khidmat pesanan ringkas syarikat telekomunikasi yang perlu melalui giliran penghantaran.

"Kaedah yang lebih berkesan adalah menghantar notifikasi tanpa melalui sistem telekomunikasi. Sistem ini telah digunakan di beberapa negara lain dan terbukti sangat berguna.

"Ini juga merupakan salah satu projek yang akan dilaksanakan MCMC. Jepun pernah menggunakannya, dan bukan Jepun sahaja, malah beberapa negara lain turut mengaplikasikan sistem ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan pendidikan IPTA bagi Parlimen Kulai di Bandar Putra Kulai.  

Susulan gegaran gempa bumi lemah yang dirasai di Segamat dan Kluang, Kementerian Komunikasi tidak menerima sebarang laporan mengenai gangguan komunikasi di kawasan terlibat.

Namun, kementerian bersama MCMC akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI