LANGKAWI, 24 Ogos - Pertandingan Memburu Jentik-Jentik menerusi program Gotong Royong Denggi Perdana bersempena dengan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah merupakan inisiatif membanteras tempat pembiakan nyamuk aedes sekali gus mencegah penularan kes demam denggi.
Exco Kesihatan Negeri Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, inisiatif yang disertai kira-kira 500 peserta itu juga sebagai langkah untuk mengurangkan kes demam denggi berulang.
"Tempat pembiakan nyamuk masih wujud, jadi kita perlu mengadakan gotong-royong dengan bantuan agensi dan penduduk kampung.
"Pada masa sama ia juga akan mendidik dan memberikan pemahaman kepada mereka bahawa kawasan yang tidak dibersihkan berpotensi menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes. Selagi kawasan ini tidak dibersihkan, objektif kita tidak akan tercapai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Gotong Royong Denggi Perdana di Kampung Kuah bersempena dengan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah di sini.
Usaha bersepadu pelbagai agensi di Langkawi itu juga bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan membanteras penyakit bawaan nyamuk yang boleh memudaratkan kesihatan.
Lebih 1,550 kes demam denggi telah direkodkan di Kedah termasuk Langkawi selain 10 kes berulang demam denggi.
Selain membanteras tempat pembiakan nyamuk aedes ia juga mencegah daripada ancaman wabak penyakit bawaan nyamuk seperti demam denggi dan chikugunya.
Hasil kajian Jabatan Kesihatan Negeri Kedah di Langkawi mendapati tong cat, tong simpanan air, barang-barang lama yang tidak digunakan menjadi menyumbang terbesar kepada pembiakan nyamuk aedes.
Pertandingan buru jentik-jentik inisiatif banteras nyamuk aedes, cegah demam denggi

powered by social2s