fb fb fb fb fb

Polis buru wanita miliki dua kad pengenalan, disyaki dalang sindiket dadah

Datuk Mohd Yusoff Mamat

KOTA BHARU, 24 Ogos - Polis sedang mengesan seorang wanita lingkungan 30-an dipercayai memilik dua kad pengenalan Malaysia dan Thailand, susulan kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya disita dalam operasi di Sungai Golok, minggu lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, wanita itu dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian penyeludupan dadah di sempadan serta dikatakan berkahwin dengan seorang lelaki warga Thailand.
 
"Kita telah membuat semakan berdasarkan nombor kenderaan dan mendapati maklumat itu benar. Pihak berkuasa Thailand mengesahkan wanita berkenaan memiliki kad pengenalan di sana.

"Manakala pihak kita juga mendapati dia mempunyai kad pengenalan di sini. Ini bermakna wanita itu memiliki dua kad pengenalan, dan kini kita sedang giat mengesannya," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini.
 
Terdahulu, turut berlangsung majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan diantara Datuk Mohd Nor Yhazid Idris kepada penyandang baharunya iaitu Senior Asisten Komisioner Mohd Khairiel Mohd Ariff yang berkuatkuasa hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan wanita berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Bagaimanapun, semakan awal mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah dan mendapati suami individu tersebut merupakan warganegara Thailand.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI