KUALA LUMPUR, 24 Ogos - Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) menyuarakan harapan tinggi agar Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang dijadual dibentangkan di Parlimen minggu depan bakal menerima sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Presiden PROFIMA Khalil Saleh berkata, sokongan itu penting demi membela kebajikan dan hak pekerja gig, sekali gus memperkukuh ekosistem industri gig di negara ini.
"Kami di sektor perfileman dan seni telah lama menanggung penderitaan tanpa sebarang pembelaan undang-undang yang kukuh. Oleh itu, kami menaruh harapan besar agar Akta Pekerja Gig ini akhirnya menjadi realiti sebagai pelindung hak, kebajikan dan masa depan kami," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, RUU Pekerja Gig bukan sahaja akan membela pekerja gig dalam industri kreatif, bahkan pelbagai sektor lain.
"Lebih penting, RUU ini bukan hanya melibatkan sektor seni semata-mata, tetapi lebih 1.2 juta pekerja gig di sektor lain di seluruh negara. Kesemua mereka telah lama menantikan RUU ini sebagai sandaran hidup dan jaminan pekerjaan yang adil," ujar beliau.
Menerusi pembentangan RUU tersebut, PROFIMA yakin Malaysia bakal menjadi contoh unggul di rantau ini dalam melindungi dan mengiktiraf pekerja gig, terutama dalam industri kreatif yang menjadi tulang belakang perkembangan budaya serta identiti negara.
Terdahulu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata, RUU tersebut mencerminkan aspirasi pelbagai pemegang taruh, khususnya pekerja gig yang telah lama menanti mekanisme formal untuk pembelaan hak mereka.