fb fb fb fb fb

Terrarium berpotensi jana pendapatan lumayan

Hasil terrarium Mohamad Indra Shahril Zainal

KUALA LUMPUR, 5 Jun- Seni hiasan tanaman dalam balang kaca atau terrarium dilihat berpotensi menghasilkan pendapatan lumayan kepada golongan muda selain boleh dijadikan hiasan di dalam rumah.

Tidak hanya dijadikan sebagai hiasan malah ia juga turut dijadikan sebagai hadiah.

Meneroka potensi itu, Mohamad Indra Shahril Zainal salah seorang staf dari Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjinak-jinak dengan seni terrarium sejak tahun 2016.

"Saya melihat potensi dalam industri terrarium ini mampu menjana pendapatan yang lumayan jika diusahakan secara serius, namun ia memerlukan kecekalan, minat yang tinggi dan perancangan untuk lebih berjaya.

"Saya berharap agar pelajar pertanian di UPM untuk mengambil peluang ini dan menjadikan bidang terrarium sebagai sebuah kerjaya. Ini kerana di Malaysia masih kurang pakar dalam bidang ini selain boleh menjadi sumber pendapatan yang lumyan," ujarnya.

Terdapat dua jenis terrarium iaitu terrarium tertutup dan terrarium terbuka namun kedua-duanya mempunyai cara pengendalian yang berbeza.

Menurut Mohamad Indra, dia lebih memilih terrarium tertutup berikutan penjagaannya yang sangat mudah selain tidak perlu disiram setiap hari kerana proses ekosistem di dalam balang kaca mengeluarkan wap air sendiri.

Sementara itu bagi terrarium jenis terbuka, ia mempunyai sebelah ruang terbuka untuk pengudaraan dan tidak memerlukan terlalu banyak cahaya matahari serta perlu disiram seminggu sekali.

Bagi hasil gubahan pula, Mohamad Indra banyak merujuk dari negara Jepun untuk dijadikan sebagai inspirasi dan juga menerusi carian di media sosial.

"Kali pertama melihat hiasan dalam balang kaca ini ialah semasa saya ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA). Saya terus sertai bengkel terrarium untuk mempelajari seni hiasan tanaman yang sangat kurang di Malaysia.

"Kreativiti gubahan terrarium diispirasikan banyak dari negara Jepun menerusi media sosial dan juga mengambil contoh-contoh lain," katanya.

0506 POTENSI TERRARIUM 2(Antara terrarium yang dihasilkan oleh Staf Fakulti Pertanian, UPM, Mohamad Indra Shahril Zainal)

Biarpun kelihatan mudah namun ia juga mempunyai cabaran tersendiri kerana setiap karya terrarium mempunyai jalan cerita atau tema tertentu.

Mohamad Indra juga pernah mengembara ke dalam hutan sehingga ke Bukit Fraser, ladang kelapa sawit dan air terjun untuk mencari lumut yang berkualiti dan juga pokok-pokok hutan yang boleh hidup dalam balang kaca.

Ia dilakukan demi sebuah karya yang ingin dihasilkan nanti.

"Ini kerana pada waktu itulah kita membuat pemerhatian di kawasan yang mempunyai pelbagai jenis lumut untuk diambil pada masa akan datang dengan konsep karya yang ada di dalam pemikiran.

"Tak semua lumut boleh digunakan dalam seni terrarium, sebab itu setiap penggubah terrarium perlu tahu berkenaan spesis lumut, batu, pokok hutan dan perlu mengambil kira pelbagai perkara bagi menghasilkan sebuah terrarium yang cantik dan berkualiti tinggi," katanya lagi.

Anak sulung yang mempunyai pengalaman selama lapan tahun dalam bidang itu, telah menghasilkan lebih daripada 40 terrarium sebagai koleksi dan juga dijual sebagai hadiah korporat di Fakulti Pertanian UPM.

Mohamad Indra juga berimpian untuk memiliki sebuah kedai terrarium dan menjadi seorang tenaga pengajar dalam bidang itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI