fb fb fb fb fb

Johor sedia pelan kesiapsiagaan banjir pastikan kelancaran peperiksaan SPM

Aznan Tamin

JOHOR BAHRU, 25 November - Pelan kesiapsiagaan komprehensif telah disiapkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor bagi memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan lancar sekiranya berlaku banjir.
 
Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri, Aznan Tamin, memaklumkan setiap Pejabat Pendidikan Daerah telah diarah menyusun pelan kesiapsiagaan banjir, termasuk penyelarasan pusat peperiksaan dan pengurusan sekolah yang mungkin dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Terdapat dua perkara yang perlu diuruskan, sama ada sesebuah sekolah itu menjadi pusat peperiksaan SPM semata-mata atau turut dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

"Namun, berdasarkan pengalaman lalu, semua persiapan telah disusun dengan baik dan kita akan memastikan calon SPM tetap dapat menduduki peperiksaan," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Pengalaman menghadapi banjir sebelum ini membolehkan JPN Johor memperkemas langkah operasi khususnya di kawasan berisiko banjir seperti Segamat, Mersing dan beberapa daerah lain yang kerap terjejas.

Bagaimanapun, lokasi risiko tinggi sebenar ditentukan mengikut keadaan semasa.
 
Setakat hari pertama SPM, semua 372 pusat peperiksaan dengan 49,654 calon hadir seperti biasa dan tiada pusat yang dilaporkan terjejas banjir.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI