fb fb fb fb fb

33 pusat peperiksaan SPM dikenal pasti berisiko banjir di Terengganu

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/ BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 25 November - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengenal pasti 33 pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 daripada 175 pusat peperiksaan berisiko terjejas banjir di semua daerah di negeri itu.
 
Menerusi dapatan tersebut seramai 649 calon daripada 19,595 calon SPM di negeri itu dikenal pasti berisiko terjejas susulan musim tengkujuh.
 
Pengarah Pendidikan Negeri, Kamsah @ Kamal Mohamed, berkata, pelan pemindahan serta pusat peperiksaan alternatif telah disediakan bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar sepanjang tempoh itu.

"Data ini dikumpul melalui maklumat yang diisi oleh pihak sekolah melibatkan calon berisiko banjir dari semua pusat peperiksaan yang berpotensi dinaiki air.

"Seramai 649 calon telah dikenal pasti dan berada dalam pemantauan kita. Jika berlaku kenaikan air, tindakan segera akan diambil. Kita sentiasa bersiap siaga dan proses pemindahan akan dilaksanakan sekiranya berlaku banjir bagi mengelakkan tekanan emosi kepada calon di Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau perjalanan peperiksaan hari pertama ujian bertulis SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, di sini.

JPNT juga memberi jaminan  seramai 649 calon SPM yang berisiko terjejas banjir akan dibantu segera, termasuk dipindahkan ke pusat peperiksaan alternatif jika berlaku kenaikan paras air.
  
Kesiapsiagaan penuh itu digerakkan melibatkan semua agensi bencana seperti  Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis serta anggota keselamatan lain. Langkah tersebut bagi memastikan calon terjejas tiba ke pusat peperiksaan untuk menduduki peperiksaan.
 
Selain itu pasukan sokongan termasuk guru kaunselor turut disediakan bagi membantu mengekalkan kestabilan emosi calon terjejas.
 
Setakat ini, keadaan cuaca di kebanyakan daerah semakin baik dan tiada calon SPM ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI