KOCHI, 24 Mei – Eksplorasi Pertanian di Jepun telah membuka mata seorang pelajar tahun 2, Sarjana Muda Sains Pengurusan Perladangan (BSPP), Fakulti Pertanian (FP), Universiti Putra Malaysia (UPM), E.N Tamilarasan terhadap inovasi baharu pertanian yang berpotensi diaplikasikan di Malaysia.
Pengalaman selama seminggu di Negara Matahari Terbit itu telah memberikannya input berharga terhadap inovasi terkini dalam sektor pertanian di negara berkenaan.
“Kunjungan ke Shimanto Mihara Vegetable Garden yang merupakan sebuah rumah kaca pertanian sangat memukau mata setelah melihat penggunaan teknologi pertanian yang membantu produktiviti pengeluaran sayuran di sana.
"Saya telah diperkenalkan dengan konsep Internet of Plant (IoP) bagi membantu pengelolaan tanaman yang lebih efektif melalui penggunaan sensor dan teknologi terkait," katanya.
Tambahnya, IOP memberikan banyak manfaat seperti pemantauan tanaman secara berterusan, pengurangan pembaziran air dan peningkatan produktiviti pertanian melalui analisis data secara masa nyata.
“Saya turut mempelajari petanian pintar, perhutanan pintar, dan perikanan pintar. Secara keseluruhnnya ia menunjukkan komitmen Jepun dalam mengembangkan sumber alam dan pertanian bagi memajukan sektor ini di negara mereka.
“Saya yakin dengan konsep ini akan menjadi landasan bagi masa hadapan pertanian yang boleh diaplikasikan di Malaysia,” katanya ketika ditemui di sini.
Kembara ilmu pertanian di Jepun merupakan program Sakura Science, ditaja sepenuhnya Japan Science and Technology Agency dan Kochi University.