KUALA LUMPUR, 23 Jun- Seramai 228 individu mengalami kerugian dianggarkan mencecah RM14.3 juta ekoran menjadi mangsa penipuan skim pelaburan mesin layan diri yang disyaki tidak wujud dan ditawarkan tiga syarikat berbeza.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ketiga-tiga syarikat terbabit didakwa menjalankan modus operandi sama bagi memperdaya mangsa.
Pelabur hanya perlu meletakkan modal tanpa perlu mengendalikan operasi mesin tersebut serta dijanjikan pulangan lumayan.
"Sebagai contoh, pelabur dikehendaki membayar sejumlah RM30,000 bagi satu mesin atau RM25,000 untuk kategori lain.
"Malah, ada pelabur membeli dalam bentuk 'lot' serendah RM1,000 dan dijanjikan pulangan sehingga lima peratus," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.
Menurut Datuk Hishamuddin, kesemua mangsa telah membuat laporan polis dan kes berkenaan diklasifikasikan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi jenayah penipuan pelaburan.
Selain itu pihaknya menggesa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan berikutan wujud pelanggaran Akta Skim Kepentingan 2016.