KUANTAN, 5 Ogos -Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menganjurkan Mesyuarat Ke-48 Pasukan Petugas Khas Peringkat Tinggi Mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN (HLTF-EI) selama dua hari bermula semalam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, di sini.
Menyuarat bersama delegasi negara-negara ASEAN berkenaan bertujuan memperkukuh integrasi ekonomi serantau dengan fokus kepada keterangkuman dan kelestarian, mengukuhkan komitmen ASEAN terhadap masa depan ekonomi yang berdaya tahan dan berwawasan.
Ketua Setiausaha MITI Datuk Hairil Yahri Yaacob selaku pengerusi menyuarat berkenaan memaklumkan, perbincangan itu telah mengumpulkan pembuat dasar utama dan pegawai ekonomi dari seluruh Asia Tenggara bagi membincangkan perkembangan ekonomi serantau dan global.
"Antara isu utama yang dibincangkan adalah Kemajuan mengenai Keberhasilan Utama Ekonomi (PED), menilai pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025, dan persiapan untuk Pengerusi ASEAN yang akan datang di Filipina pada tahun 2026," menurut Datuk Hairil menerusi satu kenyataan.
Selain itu, turut ditekankan adalah komitmen negara dalam usaha memajukan integrasi serantau melalui dasar ekonomi yang inklusif dan mampan.
Malah, turut diselitkan acara pertukaran budaya melalui sambutan makan malam dianjurkan malam tadi yang mempamerkan kepelbagaian warisan Malaysia, keunikan makanan tradisional serta mengukuhkan solidariti serantau dalam kalangan peserta.
Selain mesyuarat HLTF-EI, Dialog Analisis antara ASEAN-United Kingdom (UK) akan turut dianjurkan melibatkan HLTF-EI dan pegawai kanan ekonomi UK termasuk ketua ahli ekonomi Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan UK.